KUALA LUMPUR – Sehingga 2.3 juta kenderaan sehari akan berada di atas tiga lebuh raya utama secara berperingkat-peringkat bermula hari ini hingga 7 Mei sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Lebuh-lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataannya berkata, mengambil kira peningkatan trafik itu, syarikat konsesi lebuh raya terbabit telah diminta mengambil beberapa langkah bagi meminimumkan kesan peningkatan trafik tersebut.
Ia termasuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula semalam hingga 7 Mei ini, mengeluarkan cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi membantu pengguna merancang perjalanan serta memaparkan maklumat trafik dan peringatan menambah nilai Touch n’ Go atau e-Wallet sebelum memulakan perjalanan di papan tanda elektronik (VMS).
Malah, syarikat konsesi lebuh raya juga diminta menempatkan petugas di plaza tol bagi membantu pengguna dalam memastikan kelancaran trafik semasa inisiatif tol percuma berkuat kuasa.
Selain itu, syarikat konsesi perlu memastikan sistem dan operasi di plaza tol berjalan lancar termasuk melakukan penambahan lorong tol di kawasan dikenal pasti mempunyai trafik tinggi.
Tambahnya, penggunaan bahu jalan sebagai lorong tambahan di lokasi yang dikenal pasti di PLUS supaya aliran trafik lebih lancar terutamanya di kawasan hot spot kesesakan dan kawasan mendaki dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“LLM akan memastikan syarikat-syarikat konsesi menyediakan anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) secukupnya bagi menangani sebarang insiden, kemudahan tambahan di tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat sepanjang PLUS serta Lebuhraya Pantai Timur 2,” ujarnya.
Dalam pada itu, bagi mengoptimumkan inisiatif tol percuma yang bermula hari ini hingga 21 April serta 24 April, pengguna lebuh raya perlu menyentuh kad Touch n’ Go atau SmartTAG di plaza tol.
Pengguna Radio Frequency Identification (RFID) juga perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID. – MalaysiaGazette