Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan replika cek kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK) yang menerima bayaran dividen berjumlah RM5.722 juta di Kuantan pada hari ini

KUANTAN – Seramai 336 orang peserta e-kasih Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) menerima bayaran dividen sebanyak RM8,458 seorang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dividen diagihkan kepada peserta di sembilan daerah di Pahang kecuali Cameron Highands dan Bera.

“Bayaran dividen ini untuk tahun 2020 dan 2021 diagihkan melibatkan jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM2.841 juta.

“Manakala Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK) juga turut menerima bayaran dividen berjumlah RM5.722 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembayaran Dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, keuntungan dividen melalui Projek Ladang Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong itu telah mula dilaksanakan sejak tahun 2004 lagi.

Katanya, sepanjang tempoh projek itu berjalan sehingga kini, setiap peserta telah menerima bayaran dividen berjumlah RM23,415 seorang atau secara keseluruhannya berjumlah RM7.867 juta.

“Projek tersebut turut memegang beberapa saham seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sebanyak 20% bernilai RM3.86 juta, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang sebanyak 30% melibatkan tanah seluas 1,618.75 hektar pajakan 60 tahun dan PASFA sebanyak 50% sebagai agen pengurusan dengan modal RM9.9 juta,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pahang sedang dalam tindakan mengoptimumkan penggunaan tanah kerajaan seperti padang ragut untuk dibangunkan usahawan kecil, sederhana mahupun syarikat besar bagi menjayakan projek agromakanan.

“Kita telah melihat kejayaan projek lembu tenusu oleh Syarikat Farm Fresh Berhad di Lembah Tenusu Muadzam Shah yang berkembang dengan jayanya sehingga menjadi pengeluar susu segar utama di Semenanjung Malaysia.

“Dengan pembangunan projek kerbau tenusu dan lembu wagyu oleh syarikat MIG Dairy Fresh Sdn Bhd juga merancakkan lagi sektor agromakanan di Negeri Pahang selaras hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Negeri Pahang sebagai gedung makanan utama negara.

“Saya amat teruja dengan perancangan pihak syarikat pada masa hadapan untuk menjadi pengeluar produk hasilan susu kerbau seperti keju dan daging lembu wagyu,” ujarnya.

Wan Rosdy berkata, usaha itu mampu melonjakkan peranan Pahang sebagai pengeluar utama makanan hasilan ternakan negara. – MalaysiaGazette