KUALA LUMPUR – Perdagangan Malaysia pada bulan Mac merosot secara marginal 1.6 peratus, tahun ke tahun, didorong oleh penurunan ketara harga komoditi.

Seiring dengan itu, eksport mencatatkan penurunan 1.4 peratus kepada RM129.7 bilion, manakala import berkurang 1.8 peratus kepada RM103.0 bilion.

Sementara itu, imbangan dagangan mencatatkan lebihan RM26.7 bilion, meningkat 0.2 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata eksport Malaysia merosot 1.4 peratus daripada RM131.6 bilion kepada RM129.7 bilion, tahun ke tahun didorong oleh eksport domestik yang lebih rendah.

Manakala, eksport semula mengekalkan pertumbuhan positif dan eksport domestik bernilai RM102.5 bilion, menyumbang 79.0 peratus kepada jumlah eksport, menyusut 4.1 peratus.

Sebaliknya, eksport semula berjumlah RM27.2 bilion mengukuh 10.3 peratus berbanding Mac 2022.

Import turut mencatatkan penurunan 1.8 peratus daripada RM104.9 bilion kepada RM103.0 bilion.

“Analisis perbandingan bulanan menunjukkan jumlah dagangan meningkat 13.5 peratus daripada RM205.0 bilion pada Februari 2023 kepada RM232.7 bilion setelah enam bulan berturut-turut merekodkan pertumbuhan bulanan negatif.

“Eksport, import dan lebihan dagangan meningkat, masing-masing 15.5 peratus, 11.1 peratus dan 36.4 peratus,” katanya.

Meninjau dari kumpulan barangan, 130 daripada 258 kumpulan menunjukkan penurunan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, terutamanya injap & tiub termionik.

Bagi import, 127 daripada 259 kumpulan merekodkan pertumbuhan negatif.

Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan pengurangan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih rendah ke Vietnam (-RM1.5 bilion), diikuti China (-RM1.1 bilion), Kesatuan Eropah (-RM618.7 juta), Taiwan (-RM601.5 juta), Korea (-RM598.8 juta), Iraq (-RM529.2 juta) dan Jepun (-RM524.2 juta).

Sementara itu, penurunan import disumbangkan terutamanya oleh pengurangan import dari Indonesia (-RM1.5 bilion), diikuti Taiwan (-RM1.3 bilion), Arab Saudi (-RM589.9 juta), Jepun (-RM562.4 juta), Emiriah Arab Bersatu (-RM466.3 juta) dan Qatar (-RM418.1 juta).

Penurunan disumbangkan oleh barangan elektrik & elektronik (-RM2.3 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM1.2 bilion); keluaran getah (-RM853.8 juta); keluaran kayu (-RM675.8 juta), kondensat & minyak petroleum lain (-RM576.6 juta) dan produk keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (-RM550.3 juta).

Sementara itu, penguncupan import dicatatkan bagi petroleum mentah (-RM2.4 bilion); bahan kimia & keluaran kimia (-RM964.6 juta); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM815.9 juta); barangan elektrik & elektronik (-RM491.1 juta); dan jentera, kelengkapan & peralatan (-RM462.1 juta).

Di samping itu, prestasi bagi suku tahun pertama (ST1) 2023, jumlah dagangan, eksport dan import mengekalkan pertumbuhan positif berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Jumlah dagangan meningkat 3.2 peratus, disokong oleh perkembangan eksport (+2.8%) serta import (+3.7%). Pada masa yang sama, lebihan dagangan mencatatkan penurunan 1.0 peratus kepada RM64.4 bilion. – MalaysiaGazette