Onn Hafiz Ghazi pada sidang media selepas melawat CIQ awal pagi tadi. foto FB

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi  yakin pengoperasian Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri berjalan lancar hasil kecekapan pihak terlibat.

Jelasnya, kecekapan pengoperasian perlu bagi memastikan pergerakan pengembara berjalan lancar sekali gus mengurangkan kesesakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor.

“Seperti semua kita ketahui disini (CIQ) ini adalah paling sibuk di dunia dan sentiasa sibuk. Bagaimanapun dari segi pemerhatian saya tahap itu (kesesakan) belum lagi berada pada tahap 100 peratus. Bagi saya baru 80 peratus dari segi kecekapan.

“Semua kaunter yang ada melibatkan laluan pejalan kaki, kereta, motosikal dan bas perlu dibuka sepenuhnya. Sekiranya ada masalah dari sudut teknikal, ia mestilah diselesaikan segera, juga masalah melibatkan kekurangan tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi di kompleks berkenaan awal pagi tadi.

Beliau juga mengharapkan komitmen tersebut dapat diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh yang baru dilantik menerajui agensi itu pada 22 Mac lepas.

“Pagi ini saya juga menjemput Ketua Pengarah Jabatan Imigresen baharu untuk datang ke sini (CIQ BSI) secepat mungkin bagi melihat kaedah terbaik untuk kita meningkatkan lagi tahap kecekapan operasi di kompleks ini, kerana saya dan rakyat Malaysia berharap ia dapat beroperasi secara penuh,”ringkasnya.

Jumaat lepas, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilapor berkata kira-kira dua juta kenderaan dijangka memasuki Johor termasuk menerusi laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) sempena Aidilfitri ini.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast