Anthony SPRM
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja sempena perayaan Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan beliau belum dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan maklumat berhubung sejumlah besar dana dalam kes yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Beliau mengakui telah membaca laporan media tentang perkara tersebut namun ia tidak menyatakan kes yang dimaksudkan secara khusus.

“Itu laporan media, tetapi SPRM tidak menyatakan kaitan dengan kes yang mana.

“Setakat ini saya belum dipanggil,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, hari ini.

Hari ini, media melaporkan SPRM akan memanggil beberapa saksi baharu termasuk pemimpin sebuah parti politik berhubung kes tersebut.

Difahamkan, siasatan tersebut menjurus pelbagai sudut bagi menyiasat dakwaan pemberian rasuah melalui orang tengah sebagai jaminan untuk syarikat-syarikat terbabit terus menerima kontrak.

Ahad lalu, media melaporkan, Sivakumar hadir ke pejabat SPRM bagi melengkapkan siasatan selepas badan penguat kuasa itu menahan tiga individu termasuk dua pegawai kementerian tersebut, minggu lalu.

Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, pegawai Sivakumar ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pekerja asing.

Sementara itu, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan membayangkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan melaksanakan kadar bayaran khas saman RM50.

“Kita ikut apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri sahaja. Kalau Perdana Menteri umum Polis Diraja Malaysia (PDRM), PDRM sahajalah,” jelasnya. – MalaysiaGazette