Nur Wahida Zailan menunjukkan gambar bersama adiknya, Nur Hafizah, 23 yang masih hilang dalam kejadian jambatan gantung runtuh di Kampung Aur, Bukit Ibam sejak 3 Mac lalu.

MUADZAM SHAH – Rindu yang tiada bertepi bagi seorang kakak kehilangan adik tersayang  tidak dapat disembunyikan hendak pula menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Nur Wahida Zailan, 25, kakak kepada Nur Hafizah, 23 yang masih hilang dalam kejadian jambatan gantung runtuh di Kampung Aur, Bukit Ibam di sini masih berharap adiknya yang mesra dipanggil Kak Ngah itu ditemui.

“Tak kisah dah, asalkan dia dijumpai. Kalau boleh sebelum hari rayalah. Sekurang-kurangnya ada tanda kalau dia sudah tiada,” katanya.

Menurut Nur Wahida,  mereka sekeluarga sebelum itu merancang berpakaian sedondon biru pada hari raya pertama namun ternyata ia tak kesampaian kerana ‘kehilangan’ Kak Ngah.

Nur Wahida Zailan

“Selalu setiap kali menjelang raya kami akan buat kuih raya sama-sama, pasang pelita, kemas dan cat rumah. Kami memang sudah rancang nak pakai baju sedondon.

“Sebab daripada tahun lepas dia (Nur Hafizah) beria-ria nak pakai sedondon ikut warna tema. Tahun ini pun sama. Ingat nak pakai biru. Tapi tak sempat,” luah Nur Wahida menahan sebak.

Menurutnya, adiknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian kecuali seminggu sebelumnya ada menghantar WhatsApp bentuk gurauan.

“Tiba-tiba sahaja dia cakap ‘saya sayang awak’. Selalu mana ada dia cakap macam itu. Kita ini ingat dia bergurau. Tak sangka pula itu kali terakhir dia ucap pada saya begitu,” kenangnya.

Sejak ibu mereka meninggal dunia, mereka berdua tinggal bersama bapanya, Zailan Abdol Mani, 49, dan seorang lagi adik mereka yang berusia 11 tahun.

Namun kejadian malang menimpa Nur Hafizah pada 3 Mac baru-baru ini akibat hilang dibawa arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan gantung untuk pulang ke rumah demi menyelamatkan kucing-kucingnya daripada terkena banjir.

“Dia memang sayang kucing, tiga ekor semua sekali. Dia pelihara sejak kecil tapi tak sangka pula malam itu dia boleh nekad untuk lalu jambatan gantung demi kucing-kucingnya,” jelas Nur Wahida lagi.

Menceritakan detik-detik kejadian tersebut, ibu saudara mereka, Zainun Abdol Mani, 50, yang tinggal berhampiran memberitahu, Nur Hafizah sudah bersama mereka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana rumah mereka di seberang sungai telah dinaiki air.

“Masa di PPS tu, dia beritahu saya nak balik ke rumah untuk menyelamatkan kucingnya, tapi saya larang. Sebab ayah mereka masih ada di rumah itu berkemas. Jadi saya kata tak mengapa, ayahnya ada,” katanya.

Zainun Abdol Mani

Tanpa disedari,  Nur Hafizah cuba mengejar bapa saudaranya yang cuba menyeberang jambatan gantung kerana mahu menyerahkan plastik hitam untuk menyelamatkan kucing-kucingnya.

Bagaimanapun, dalam keadaan arus sungai yang deras, jambatan gantung itu terlangkup dan Nur Hafizah lenyap dari pandangan selepas melaungkan nama bapa saudaranya.

“Bapa saudara nya yang dipanggil Pak Long itu pula tersangkut pada besi jaring jambatan ketika kejadian tapi bila dia tengok Nur Hafizah sudah tiada, dia terjun semula untuk mencarinya. Tapi tak jumpa,” kata Zainun.

Selepas kejadian, katanya, penduduk kampung turut membantu mencari Nur Hafizah namun gagal.

Dalam kejadian 3 Mac lalu, Nur Hafizah dilaporkan hilang dibawa arus sungai ketika cuba menyeberangi jambatan gantung di Kampung Aur, di sini dan operasi mencari dan menyelamat gagal menemui mangsa sebelum dihentikan pada 16 Mac lalu dan kini operasi mencari orang hilang diteruskan polis. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lali bantu operasi jejak mangsa dihanyutkan arus sungai

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast