logo mahlamah

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipenjara sebulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana melepaskan seekor anjing peliharaannya jenis Belgian Shepherd sehingga menyebabkan seorang wanita cedera parah akibat digigit anjing itu, Ahad lepas.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap N.Trini Emmanuel Nettar, 53, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mendatangkan bahaya atau musibah kepada T.S.Sheela, 35, dengan cara melepaskan haiwan itu sehingga mangsa cedera parah di hadapan sebuah rumah di Jalan Nangka, Off Jalan Kovil Hilir Perhentian, Sentul di sini pada 7.30 malam, 16 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan bapa kepada empat anak itu menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 18 April lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Johar memohon hukuman penjara setimpal dengan kesalahan dilakukan oleh tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam kerana tindakan tertuduh melepaskan anjing itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

“Ia juga dapat memberi pengajaran kepada tertuduh agar perbuatan sama tidak berulang lagi selain dapat memberi pengajaran kepada masyarakat untuk menjaga haiwan peliharaan mereka agar tidak mendatangkan kecederaan kepada orang lain,” katanya.

Trini Emmanuel yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan dia tidak bekerja.

“Saya memohon maaf atas kesalahan ini dan kepada semua pihak,” katanya. – Bernama