Salahuddin Ayub membuat lawatan Jualan Rahmah Daging Import di Econsave Pontian, hari ini.

PONTIAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima ratusan aduan berhubung kesalahan para peniaga yang  tidak meletakkan tanda harga barangan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, aduan itu telah diterima sepanjang Ramadan termasuk sewaktu Skim Harga Maksimum (SHM) yang dibuat sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, jelasnya, kementerian mengambil pendekatan mesra dengan memberi nasihat terbabit buat pertama kali.

Namun jika keadalahan itu dilakukan secara berulang, tindakan akan dikenakan.

“Kementerian menerima banyak aduan dan kita juga terpaksa mengenakan tindakan apabila banyak kali melakukan kesalahan sama.

“Waktu itu saya juga secara peribadi dengan sendiri adakan lawatan mengejut.

“Kesalahan besar peniaga ialah tidak meletakkan tanda harga, bila buat operasi terjah, saya beri nasihat kepada mereka tolong letak tanda harga nanti kalau pegawai KPDN datang ambil tindakan saya sudah beri nasihat.

“Itu satu isu peniaga, mereka kena beri kerjasama kerana jika berlaku ulang kali tiada pilihan utk perundangan,” katanya. 

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas membuat lawatan Jualan Rahmah Daging Import di Econsave Pontian hari ini.

Jelas Salahuddin, dalam masa sama beliau mengakui terdapat beberapa lokasi dikenal pasti menjual harga ayam segar melebihi harga siling RM9.40 ditetapkan kerajaan.

“Ia berikutan penjual ayam menerima bekalan ayam daripada dua hingga tiga lapisan pemborong menyebabkan  peniaga terpaksa meletak caj memotong sebanyak RM1.

“Kita telah merujuk perundangan bila dia (peniaga) pamerkan harga ayam RM9.40 dan memberitahu mempunyai caj RM1 untuk upah potong, selagi mana pelanggan bersetuju dia tak jadi kesalahan,” katanya.

Jualan Rahmah Daging Import sebanyak 90 cawangan Econsave seluruh negara yang menawarkan 500 tan daging kerbau import pada harga RM14.90 sekilogram berbanding harga siling RM20 setiap sekilogram yang ditetapkan kerajaan.-MalaysiaGazette