ACP Zam Halim Jamaluddin dalam sidang media rampasan Ganja di IPD Cheras pagi hari ini.

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket yang cuba mengedar ganja seberat 43 kilogram bernilai RM130, 944 menggunakan aplikasi Telegram di sekitar Cheras akhirnya terbongkar.

Sepasang suami isteri antara empat suspek warga tempatan yang dipercayai terlibat kegiatan haram itu diberkas polis dalam satu operasi khas.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pada 17 April lalu pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik  Cheras telah melancarkan dua serbuan berasingan di sebuah kondominium di sekitar Sungai Besi, Cheras.

“Dalam serbuan pertama, polis berjaya menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 26 tahun yang disyaki dalang utama sindiket itu di lobi kondominium mewah yang dilengkapi kawalan keselamatan ketat.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 26 tahun itu polis berjaya merampas dadah jenis ganja seberat satu kilogram anggaran ber nilai RM3,100,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Zam Halim, semakan mendapati suspek negatif urin dan memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Berpandukan hasil soal siasat, polis telah melaksanakan serbuan kedua di salah satu unit kediaman di kondominium yang sama.

“Hasilnya, kita berjaya membuat tangkapan ke atas tiga suspek warga tempatan berusia lingkungan antara 23 hingga 43 tahun termasuk seorang wanita berumur 30 tahun yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek berusia 39 tahun.

“Pasukan melakukan pemeriksaan lanjut di dalam unit itu sebelum berjaya menjumpai ganja seberat 41.240 kilogram bernilai RM127,884 selain wang tunai RM200 disyaki hasil jualan, sebuah motosikal jenis Honda RS dan sebuah kereta jenis Perodua Alza serta seutas gelang emas daripada mereka,” ujarnya.

Malah modus operandi sindiket itu adalah mereka berperanan sebagai pengedar dan berurusan dalam aplikasi media sosial untuk mendapatkan bekalan dadah di Lembah Klang.

Tambahnya, sindiket itu bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran ganja selama enam bulan sejak November lalu menjadikan kondominium mewah di Sungai Besi yang disewa dengan kadar RM1,900 sebulan sebagai tempat penyimpanan bekalan dadah.

“Kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan pengedaran ganja sebagai mata pencarian utama mereka dan jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 42,000 pengguna sekitar Cheras.

“Suspek pertama memiliki dua rekod lampau berkaitan narkotik dan negatif dadah manakala suspek kedua berusia 43 tahun positif dadah THC sementara suspek ketiga lelaki berusia 39 tahun mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala isterinya bebas rekod jenayah dan negatif dadah,” katanya.

Kesemua suspek berkenaan kini direman selama tujuh hari bermula 19 April hingga 24 April ini untuk membantu siasatan polis yang dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati jika disabitkan kesalahannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast