ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden penganjuran festival membeli belah sempena sambutan 1 Syawal iaitu Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima satu laporan berkaitan penganjuran festival beli belah itu pada 19 April lalu.

“Bertindak atas laporan polis dan disusuli kertas siasatan dibuka, polis telah membuat tangkapan ke atas tiga orang individu tempatan termasuk seorang lelaki berusia 23 tahun.

“Dua lagi individu merupakan wanita masing masing berusia 50 dan 51 tahun sebagai pengarah syarikat dan juga penganjur festival beli belah sambutan Syawal itu turut diberkas bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Dellhan, ketiga-tiga individu itu kini ditahan reman selama dua hari sehingga esok.

Kes berkenaan diteruskan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Polis juga memperhebatkan siasatan berhubung gelaran Datuk yang dimiliki oleh salah seorang daripada tiga individu itu. Semakan lanjut polis mendapati ketiga-tiga individu yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.

“Justeru, setakat ini polis telah menerima sebanyak enam laporan polis ke atas mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette