PETALING JAYA – Siasatan ke atas seorang anggota polis peronda yang mengeluarkan saman kepada seorang pemandu yang gagal mempamerkan cukai jalan menjurus kepada tindakan tatatertib anggota tersebut.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya masih belum memutuskan tindakan yang bakal dikenakan terhadap anggota polis terbabit dan kini beliau masih bertugas di bahagian trafik.
“Kita sudah mengambil keterangan daripada anggota polis berkenaan dan juga individu yang menerima saman tersebut untuk membantu siasatan lanjut.
“Tiada alasan bagi anggota polis berkenaan melakukan kesilapan itu kerana kita sudah mengadakan taklimat dan arahan sudah dikeluarkan di peringkat Bukit Aman supaya tidak mengeluarkan saman berkaitan kesalahan tidak mempamer lesen kenderaan motor,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Program Walkabout di Bazar Ramadan Kelana Jaya, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan siasatan dilakukan ke atas seorang anggota polis peronda yang mengeluarkan saman terhadap seorang individu yang gagal mempamerkan cukai jalan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, Ahad lalu.
Fakhrudin dilaporkan berkata, pihaknya telah mengesan satu hantaran yang dimuatnaik pemilik akaun Facebook, Faiz Sulaiman mengenai saman yang dikenakan terhadapnya.
Sementara itu, Fakhrudin berkata, pihaknya menerima 54 permohonan orang ramai yang memaklumkan pulang ke kampung secara manual dan aplikasi pintar Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Katanya, ia akan membantu polis untuk melakukan rondaan mencegah jenayah di kawasan perumahan mereka bagi memastikan keselamatan harta benda mereka terjamin sepanjang musim perayaan.
Dalam pada itu, Fakhrudin memberitahu, operasi rondaan di kawasan perumahan sekitar daerah Petaling Jaya akan dilakukan menerusi Ops Selamat bermula hari ini hingga 28 April depan.
“Bagi tujuan itu, kira-kira 1,350 anggota polis di daerah ini akan bertugas sepanjang Ops Selamat untuk mencegah jenayah dan memastikan kelancaran trafik,” ujarnya. – MalaysiaGazette