SPRM hakim
Logo SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua akaun bank milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 11 April lalu.

Menurut satu kenyataan, tindakan itu diambil setelah suruhanjaya itu mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.

“Sebelum ini, akaun-akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023 mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan artikel yang diterbitkan akhbar berbahasa Inggeris semalam bertajuk ‘Bersatu asks MACC why two accounts still frozen after 90 days’ (Bersatu minta penjelasan SPRM mengapa dua akaun masih dibekukan selepas 90 hari).

Menurut kenyataan itu, SPRM menyita akaun itu berikutan siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin  Yasin di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001. – MalaysiaGazette