Rempuhan yang berlaku di tangga ini ketika ratusan orang mahu menerima sumbangan Aidilfitri menyebabkan 78 orang terbunuh. foto Hindustan Times

SANAA – Sekurang-kurangnya 78 orang terbunuh dalam tragedi di sebuah sekolah di ibu kota Yaman yang dikuasai pemberontak, Sanaa, semasa acara amal untuk Ramadan.

Manakala 77 lagi cedera dan 13 dalam keadaan kritikal.

Insiden itu bermula selepas ratusan orang berkerumun di jalan sempit di kawasan Bab al-Yemen lewat hari Rabu untuk mendapatkan wang tunai AS$9 (£7) daripada seorang peniaga.

Video menunjukkan orang ramai menjerit meminta tolong dan yang lain cuba melepaskan diri.

Rakaman kemudian kelihatan menunjukkan berpuluh-puluh mayat di atas tanah, serta kasut dan pakaian berselerak di atas tangga.

Pegawai dari pergerakan pemberontak Houthi menuduh penganjur gagal untuk menyelaraskan dengan pihak berkuasa tempatan menyebabkan tragedi itu berlaku.

Penganjur telah ditahan.

Dalam kejadian itu, golongan miskin dikatakan telah pergi ke Sekolah Maeen di tengah Sanaa pada malam Rabu selepas diberitahu seorang peniaga tempatan akan menyampaikan zakat (sedekah) menjelang perayaan Aidilfitri.

Ketua Majlis Revolusi Tertinggi Houthi, Mohammed Ali al-Houthi, menyiarkan gambar di Twitter nampaknya menunjukkan ratusan orang beratur di luar sekolah.

Houthi berkata, ahli perniagaan itu memberi wang kepada orang ramai melalui tangga pintu pagar belakang yang sempit dan mengakibatkan kesesakan teruk apabila pintu pagar dibuka.

“Mereka yang berada di belakang telah menolak orang depan menyebabkan keadaan kecoh,” menuurt saksi.

Mereka yang terkorban adalah kanak-kanak dan wanita.

Yaman telah musnah akibat perang saudara yang memuncak pada tahun 2015, apabila Houthi yang bersekutu dengan Iran merampas kawalan sebahagian besar barat negara itu daripada kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan pakatan yang diketuai Arab Saudi campur tangan dalam usaha memulihkan pemerintahannya. .

Pertempuran itu dilaporkan telah menyebabkan lebih 150,000 orang terkorban dan mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia, dengan dua pertiga daripada penduduk – 21.7 juta orang – memerlukan beberapa bentuk bantuan.

Kemusnahan ekonomi yang disebabkan oleh perang menyebabkan ramai yang tidak mampu membeli makanan dan keperluan lain. – Agensi