Salahuddin Ayub

JOHOR BAHRU – Beberapa peniaga termasuk penjual daging di Pasar Awam Larkin Sentral, di sini, didapati menjual daging kerbau import, kambing import dan beberapa barangan lain melebihi harga yang ditetapkan di bawah skim harga maksimum sempena perayaan Aidilfitri.

Perkara itu didedahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang membuat pemeriksaan mengejut di pasar berkenaan, hari ini.

“Saya sengaja datang dan tinjau di pasar ini kerana dapat banyak maklumat mengenai harga (barangan) (di sini) yang kadangkala sangat tidak berpatutan.

“Betul, ramai warga asing (Singapura) yang membeli di sini, kerana berdekatan dengan kawasan sempadan kita, jadi saya pergi meninjau, melihat sendiri, memang ada gerai-gerai yang menjual daging kerbau import yang tidak mengikut harga yang ditetapkan di bawah skim harga maksimum,” kata beliau kepada pemberita selepas pemeriksaan di pasar itu.

Beliau berkata contohnya harga kerbau import sepatutnya dijual dengan harga RM20 sekilogram tetapi ada peniaga yang menjual hingga RM24 sekilogram.

Selain itu, Salahuddin berkata ada juga segelintir peniaga yang masih gagal meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual, yang juga merupakan satu kesalahan.

“Jadi ini sangat saya kesalkan dan saya harap pegawai akan dapat bertindak cepat pada hari ini, supaya rakyat dapat berbelanja dengan harga yang telah kita tetapkan,” kata Salahuddin.

Ahli Parlimen Pulai itu juga telah mengarahkan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya bertindak cepat bagi memastikan peniaga terbabit tidak mengulangi kesalahan.

“Jadi kalau (peniaga mengulangi kesalahan yang sama) secara berulang-ulang, pegawai KPDN tidak akan berkompromi dan akan ambil tindakan tegas ke atas peniaga sebab kita (kerajaan) telah ingatkan banyak kali.

“Memang Pasar Awam Larkin Sentral ini KPDN akan ambil perhatian serius kerana ia kawasan tumpuan warga asing yang berbelanja di sini dan ini akan menjadi satu masalah kepada penduduk tempatan yang juga berbelanja di sini. Jadi saya rasa kita harus tegas,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast