Datuk Lokman (tengah) memeriksa keadaan tayar dua kenderaan berat lori yang sudah botak dan merbahaya selepas ditahan beroperasi pada waktu larangan di atas jalan raya di Banting di sini. Ihsan JPJ Selangor

KUALA LUMPUR – Dua buah lori jenis tipper dumper yang gagal mematuhi waktu larangan kenderaan berat di atas jalan raya pada musim perayaan yang dikuatkuasakan sejak 19 April lalu telah ditahan dan disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Koridor Banting-Klang, Kuala Langat di sini semalam.

Pengarah Penguat Kuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata, kedua-dua kenderaan berat itu ditahan dan diambil tindakan tegas sita dalam Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 bermula jam 12.30 tengah malam.

Kata beliau, operasi khas memantau kenderaan berat itu diketuai Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Selangor, Mazlini Yusof.

Lokman semasa terlibat dalam operasi pemeriksaan kenderaan berat yang melanggar penguatkuasaan waktu larangan beroperasi atas jalan raya bersempena Aidilfitri oleh JPJ di Banting. Ihsan JPJ Selangor

“Kita melakukan pemeriksaan lanjut ke atas dua lori yang ditahan itu dan mendapati kedua-dua kenderaan berat itu telah melakukan kesalahan tidak mematuhi waktu larangan kenderaan berat yang ditetapkan oleh JPJ bersempena sambutan 1 Syawal kali ini.

“Malah, pemeriksaan terhadap kedua-dua pemandu lori yang berusia lingkungan 50-an itu mendapati mereka tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL),” katanya ketika dihubungi pada hari ini.

Tambah beliau, semakan lanjut pihak JPJ juga mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insuran kedua-dua lori itu telah tamat tempoh sah laku.

Menurutnya, JPJ juga telah mengesan pelbagai kesalahan teknikal terhadap salah sebuah lori berkenaan termasuk hampir kesemu tayar pada lori itu ‘botak’ dan tidak selamat untuk digunakan.

Kenderaan berat lori disita kerana melanggar waktu larangan beroperasi atas jalan raya selain keadaan tayar kenderaan yang botak dan tidak selamat digunakan atas jalan semasa operasi JPJ di Banting, Ihsan JPJ Selangor

“Kita mengambil tindakan tegas ke atas kedua-dua lori terbabit dengan melakukan sitaan di bawah Seksyen 64 dan notis di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu lucut hak kenderaan.

“JPJ tidak sesekali berkompromi kepada kenderaan berat yang membawa muatan lebih.

“Mana-mana kenderaan berat yang ditahan melanggar peraturan yang ditetapkan JPJ di atas jalan raya akan diambil tindakan sitaan dan lucut hak secara lebih tegas.

Malah tegasnya, JPJ juga akan mengambil tindakan keras kepada tonto dan juga pegawai penguatkuasa yang memainkan peranan di sebalik tabir dan melindungi kegiatan ini.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan trafik termasuk membabitkan kenderaan berat kepada [email protected] atau platform aplikasi e-Aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan. – MalaysiaGazette