Keadaan trafik di Plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur kelihatan lancar.

KUALA LUMPUR – Aliran trafik dari Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur kini lancar dengan tiada pertambahan kenderaan yang ketara.

Keadaan ini berbeza berbanding kelmarin dan semalam yang menyaksikan kesesakan luar biasa hampir 10 kilometer hanya untuk menuju ke tol berkenaan.

Tinjauan MalaysiaGazette setakat jam 2.15 petang mendapati, susur keluar dari Tol Gombak juga bergerak lancar menghala ke Bentong.

Suasana yang lebih lengang ini dipercayai berikutan ramai warga kota yang pulang menyambut Aidilfitri ke Pantai Timur lebih awal sejak Rabu lalu.

Jika dibandingkan keadaan tersebut bermula Rabu, aliran trafik sangat ‘parah’ apabila mengambil masa lebih tiga jam untuk ke Bentong dengan jarak hanya sekitar 40 kilometer dari Tol Gombak.

Sebelum ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah peningkatan trafik hingga 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebuh raya utama.

Iq dijangka berlaku berperingkat bermula 19 April hingga 7 Mei sempena perayaan Aidilfitri melibatkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast