Senator Datuk Razali Idris.

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin perlu akur dengan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk meletakkan beliau di Selangor atau Negeri Sembilan jika bekas Ahli Parlimen Rembau itu bersetuju menyertai parti ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, buat masa Bersatu masih menantikan keputusan Khairy untuk menyertai Bersatu, sekali gus menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurutnya, Khairy sudah bertemu dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan inti pati pertemuan berkenaan.

Dakwa Razali, Muhyiddin sudah membuat tawaran kepada bekas Menteri Kesihatan itu ketika pertemuan selepas Khairy dipecat daripada UMNO.

” Dalam pertemuan itu, Muhyiddin telah menawarkan kepada Khairy untuk bertanding atas tiket Bersatu dalam PRN jika beliau masih berminat dalam politik. Tawaran itu berserta beberapa syarat.

“Antaranya beliau perlu menghantar borang sebagai ahli Bersatu terlebih dahulu dan kerusi yang ditandinginya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Namun, sehingga hari ini, Bersatu masih menantikan jawapan Khairy.

Razali mendakwa Khairy meminta sedikit masa untuk membuat keputusan dan Bersatu terbuka untuk menerima Khairy berdasarkan reputasinya.

Dalam pada itu Razali berkata, Bersatu juga sedia membuka pintu parti kepada mana-mana bekas pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan jika individu tersebut boleh memantapkan lagi parti tersebut. -MalaysiaGazette

Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang – KJ

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast