Rampasan heroin dan syabu dari seorang suspek lelaki tempatan selepas kejar mengejar di lebuhraya plus Gurun Kedah 19 April lalu. Ihsan polis IPK Kedah

KUALA LUMPUR – Seorang suspek lelaki yang disyaki pengedar dadah bertindak agresif dengan merempuh dua kenderaan polis sebelum memecut keretanya di utara Lebuhraya Utara Selatan selepas didekati polis untuk pemeriksaan ke atas kenderaannya di kawasan letak kereta.

Tindakan suspek itu memaksa anggota polis mengejar individu itu sebelum berjaya memberkasnya di kawasan Rumah Rehat dan Rawat Gurun (arah selatan) lebuh raya tersebut.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pada 19 April lalu, kira-kira jam 4 petang bertindak atas maklumat dadah, pasukan polis telah membuat serbuan di kawasan tempat letak kereta Port Kambing Bakaq, susur keluar Bukit Pinang, Lebuhraya Utara Selatan, dekat Jitra, Kedah.

Katanya, polis tidak mendapat kerjasama seorang lelaki yang memandu kereta Kia Cerato untuk membuat pemeriksaan ke atasnya.

“Suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan memandu secara melulu dan cuba untuk merempuh anggota dan kereta polis.

“Bagaimanapun, tiga jam kemudian pada hari yang sama iaitu sekitar jam 7 malam , polis berjaya menjejaki dan menahan suspek yang dikejar itu di kawasan belakang medan makan R&R Gurun.

“Hasil pemeriksaan fizikal ke atas suspek berjaya menjumpai satu alat kawalan jauh kenderaan dalam poket seluar suspek itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah beliau, suspek telah menunjukkan kenderaan jenis Kia Cerato berwarna merah yang dinaikinya di tempat letak kereta R&R Gurun itu.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu, polis berjaya menjumpi satu plastik warna hitam bertulis black safe di atas kerusi penumpang hadapan yang mengandungi plastik lutsinar berikat getah berisi bahan disyaki dadah jenis Syabu anggaran 510 gram dan plastik berwarna hitam mengandungi paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 1.817 kilogram.

“Nilai rampasan dadah berkenaan adalah berjumlah RM33,388 manakala wang tunai RM400 turut dilakukan pasukan narkotik.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 25 April ini untuk membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 19523,” katanya.

Tambah beliau, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, Seksyen 207 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjatapi 1960. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast