KUALA LUMPUR – Aliran trafik dari Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur mulai sesak bermula jam 10 malam tadi berikutan orang ramai dipercayai pulang ke kampung halaman.
Tinjauan MalaysiaGazette sehingga jam 1 pagi tadi mendapati meskipun jumlah aliran trafik semakin lancar sebelum Plaza Tol Gombak, namun kesesakan dikesan berlarutan hingga ke Genting Sempah, Bentong Pahang.
Pertambahan kenderaan memuncak apabila orang ramai memulakan perjalanan selepas pengumuman pengisytiharan Hari Raya Aidilfitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, jam 8 malam tadi.
Sebelum ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah peningkatan trafik hingga 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebuh raya utama dijangka berlaku berperingkat bermula 19 April hingga 7 Mei sempena perayaan Aidilfitri.
LLM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan jangkaan jumlah peningkatan trafik itu adalah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1.
Terdahulu, aliran trafik perlahan dari Plaza Tol Gombak ke Lentang hingga ke Tol Bentong sejak jam 12.32 tengah hari tadi. – MalaysiaGazette