Remaja maut selepas motosikalnya terbabas di Jalan Antara Gapi-Rawang malam tadi. Ihsan IPD Hulu Selangor

KUALA LUMPUR – Perjalanan seorang remaja lelaki untuk membaiki telefon bimbitnya yang bermasalah selepas selesai waktu berbuka puasa berakhir dengan tragedi malam tadi selepas terlibat dalam kemalangan.

Nahas itu berlaku di kilometer 34 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh ketika mangsa menunggang motosikal dari rumahnya di Antara Gapi ke bandar Rawang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, sejurus tiba di lokasi berkenaan motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sendiri di garisan tengah jalan utama tersebut.

“Mangsa telah terjatuh akibat terbabas dan mengakibatkan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan pagi tadi.

Tambah Ahmad Faizal, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menjalani proses bedah siasat.

Orang awam yang melihat atau mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian kemalangan itu agar tampil segera melaporkan untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette