12 individu termasuk kanak kanak dari satu keluarga yang terperangkap dalam kepala air ketika bermandi manda di air terjun diselamatkan bomba dalam kejadian di KKB, Hulu Selangor petang tadi. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seramai 12 orang yang terperangkap dalam kepala air di Air Terjun Sungai Sendat, Jalan Kampung Gurney, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor hari ini diselamat anggota bomba

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu kira-kira jam 3.40 petang.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelemat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di tempat insiden, pemerhatian lanjut kami mendapati 12 orang dipercayai daripada satu keluarga kesemuanya warga tempatan telah terperangkap dalam kepala air sungai tersebut.

“Kesemua mereka terdiri daripada tiga kanak-kanak (dua perempuan, seorang lelaki), dua wanita dewasa dan tujuh lelaki dewasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kesemua mangsa berumur antara 2 dan 50 tahun.

Katanya, siasatan mendapati mereka datang melancong dan mandi di kawasan air terjun itu sebelum terperangkap dalam kepala air.

“Pihak bomba berjaya mengeluarkan kesemua mangsa ke kawasan selamat dan kesemua mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette