KUALA LUMPUR – Suasana di kawasan pusat bandar ibu negara kelihatan sepi selepas ramai warga kota pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri hari ini.
Di sebalik kesunyian itu, ibu kota ‘dihiasi’ pula dengan kehadiran warga asing yang dilihat seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini semalam mendapati, kebanyakan warga asing mengambil peluang untuk meluangkan masa bersantai bersama kenalan di sekitar kawasan tumpuan.
Tidak kurangnya, ada juga dalam kalangan mereka yang memanfaatkan peluang lelongan saat akhir dengan potongan harga lebih 50 peratus di Bazar Aidilfitri Jalan TAR yang melabuhkan tirainya malam tadi.
Pemerhatian MalaysiaGazette sepanjang jalan raya utama di ibu kota juga mendapati aliran trafik bergerak lancar dan tiada pertambahan jumlah kenderaan yang ketara.
Mana tidaknya, Jalan Loke Yew menghala ke pusat bandar yang cukup sinonim dengan istilah ‘sesak teruk’ juga ternyata lebih lengang dengan tiada sebarang jangkaan kelewatan.
Sebelum ini, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman menganggarkan kira-kira sejuta warga kota akan keluar meninggalkan ibu negara bagi menyambut hari lebaran. – MalaysiaGazette