KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah mengarahkan siasatan dilakukan terhadap dakwaan kaunter ikat jamin di mahkamah, di sini, dui tutup lebih awal.
Isu itu timbul selepas enam lelaki yang mohon dibicarakan atas tuduhan konspirasi jenayah menipu terpaksa meringkuk dalam penjara kerana kaunter itu ditutup lebih awal.
Azalina berkata, beliau sudah mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang menyiasat dakwaan tersebut.
Jelas beliau, hak ikat jamin sudah termaktub dalam hak asasi manusia dan perlembagaan dan ia sentiasa dipatuhi dan dihormati kerajaan.
“Jika dakwaan ini benar seperti yang diadukan oleh peguam tertuduh, kita akan siasat dan kaji bagi perbetulkan kesilapan seumpama ini agar tidak sesekali berulang,” katanya seperti dilaporkan media, hari ini.
Khamis lepas, peguam mewakili enam lelaki, Alvin Tan mendakwa kaunter ikat ditutup sekitar jam 2.53 petang sedangkan operasi sepatutnya sehingga 4.30 petang.
Dakwa Alvin, ketika itu anak guamnya baru sahaja dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 oleh majistret namun kaunter ditutup awal. -MalaysiaGazette