Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa lokasi di Petaling Jaya, Selangor dan Segamat, Johor mencatatkan situasi tidak sihat sekitar petang ini.

Petaling Jaya mencatatkan IPU 109 manakala indeks di Segamat adalah 107.

Menurut laman sesawang Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), hampir semua daerah di seluruh Malaysia mencatatkan IPU dari 52 hingga 88 iaitu paras sederhana.

Manakala lokasi IPU merekodkan tahap baik ialah Tanjung Malim, Perak (50), Sandakan, Sabah (39), Kapit, Sarawak (42) dan Sarikei, Sarawak (44).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA) memaklumkan akan memantau keadaan semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi kemungkinan jerebu. – MalaysiaGazette