Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penularan subvarian baharu Covid-19 yang digelar Arcturus yang mula menular di beberapa negara termasuk Malaysia tidak seganas seperti varian Delta, sebelum ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Management and Science University (MSU), Profesor Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, strain XBB.1.16 merupakan gabungan semula (recombine) dua varian Omicron yang telah bermutasi.

“Subvarian ini pertama kali telah ditemui di India pada Januari lalu, dan telah mula mereka ke 22 negara di dunia termasuk Singapura, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Berdasarkan maklumat pakar subvarian ini tidak seganas varian Delta. Bagaimanapun, cara penularannya masih sama namun kadar penularan ialah 1.2 kali dari varian asal,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Management and Science University (MSU), Profesor Datuk Dr Rohaizat Yon ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Mengulas mengenai kesan dan risiko kepada mereka yang dijangkiti varian Arcturus, beliau berkata, simptom mereka yang dijangkiti akan menunjukkan gejala deman dan selsema ringan.

“Bagi kanak-kanak yang dijangkiti berpotensi mendapat sakit mata conjuctivitis manakala golongan rentan pula mereka berisiko menghidapi jangkitan paru-paru serius,

“Selain itu pesakit yang dijangkiti berisiko tinggi mendapat ‘long covid’.” jelasnya.

Rohaizat yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) berkata, walaupun tiada pematuhan prosedur Operasi Standard (SOP) namun risiko dijangkiti varian baharu masih ada.

“Buat masa ini tiada SOP baharu yang diperkenalkan oleh KKM, namun masyarakat jangan alpa kerana risikonya masih ada malah terdapat peningkatan trend kes harian di Malaysia sejak bulan Mac lalu.

“Sehingga kini jumlah kematian yang terkumpul adalah 37,000 orang yang mana kebanyakkan ialah dari golongan warga emas dan yang mempunyai komorbiditi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada orang ramai yang sedang menyambut hari raya untuk menjaga keselamatan diri dan elakkan berada di tempat yang sesak.

Malah orang ramai digalakkan untuk terus mengambil dos pengalakan kerana ia mampu mengurangkan risiko gejala jangkitan.

“Digalakkan memakai pelitup separuh muka di tempat sesak dan sempit dimana penjarakan fizikal sukar diamalkan misalnya di rumah ibadat, rumah terbuka serta kawasan rehat dan rawat (R&R).

“Selain itu, perlu mengelakkan diri menziarahi orang yang berisiko seperti demam dan selsema malah digalakkan membawa sanitasi tangan dan kerap mencuci tangan,” katanya.

“Pada masa ini, hanya 50 peratus penduduk di Malaysia yang telah menerima dos penggalak pertama dan risiko kemasukan ke hospital kini menurun dengan mengambil dos penggalak.

“Bagi yang mempunyai simptom perlu membuat ujian Covid. Sekiranya positif, amat digalakkan melakukan isolasi sendiri untuk melindungi golongan yang berisiko tinggi,” jelasnya.

Antara 21 April lalu hingga kini, sebanyak enam kes positif Covid-19 yang disebabkan oleh varian baharu XBB1.16 atau Arcturus telah dikesan di Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, varian Arcturus berada di bawah pemantauan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana berpotensi untuk meningkatkan jangkitan dan patogenik. – MalaysiaGazette