Statistik kemalangan jalan raya hari kedua Op Selamat bertarikh 21 April 2023 oleh JSPT Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,389 kes kemalangan jalan raya direkodkan pada hari kedua penguatkuasaan Op Selamat 20 yang bermula sejak 20 April lalu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 hari ini di seluruh negara.

Angka itu menurun sedikit berbanding kadar kemalangan yang dicatatkan pada hari pertama Khamis lalu iaitu sebanyak 1,964 kes kemalangan.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,601 kenderaan terlibat dalam nahas jalan raya di seluruh negara semalam.

“Berdasarkan statistik, kereta terus mendominasi carta kenderaan yang terlibat nahas pada hari kedua iaitu merekodkan angka kemalangan tertinggi iaitu sebanyak 1,159 kes.

“Angka itu menurun sedikit berbanding jumlah kereta terlibat kemalangan yang direkodkan pada hari pertama Op Selamat iaitu sebanyak 1,704 buah atau 68.54 peratus.

“Kenderaan pacuan 4 roda merekodkan 112 kes, motosikal (192) buah, Kenderaan Pelbagai Fungsi (MPV) 81 kes, basikal (2), lori (15), van (23), bas (13) buah dan akhirnya empat kes membabitkan teksi,” kata JSPT menerusi laman rasmi Facebooknya.

JSPT menasihatkan semua pengguna jalan raya sentiasa peka semasa pemanduan bagi mengelak risiko terlibat dalam kemalangan agar perjalanan ke destinasi oleh pengguna sentiasa berhemah dan selamat.- MalaysiaGazette