SUNGAI PETANI – Seorang penuntut Kolej Vokasional Arau, Perlis maut dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Jalan Lencong Timur, di sini, malam tadi.
Kejadian jam 12.45 tengah malam itu menyebabkan mangsa yang berusia 17 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS dari arah Aman Jaya menghala Bukit Banyan.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila lori dipandu lelaki 36 tahun keluar dari lorong sebelah kiri bahu jalan dan masuk ke jalan utama yang terdapat dua lorong.
“Ketika itu, mangsa dari belakang dan tidak sempat mengelak lalu terlanggar belakang lori berkenaan manakala kereta Toyota Vios yang datang kemudiannya, gagal mengelak dan melanggar motosikal itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Zaidy berkata, mayat mangsa dihantar ke unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau. – MalaysiaGazette