Foto: FB Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah hari ini berkenan menerima kunjungan dua Menteri Singapura bersempena sambutan Aidilfitri di Istana Bukit Serene di sini.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi baginda hari ini, mereka ialah Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura, Grace Fu dan Menteri Tenaga Manusia serta Menteri Kedua bagi Perdagangan dan Industri Singapura, Dr Tan See Leng.

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Berangkat sama Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah serta anakanda baginda yang lain iaitu Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj.

Hadir sama Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru Jeevan Singh dan isteri.

Tetamu kehormat turut diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari bersama baginda berdua dan keluarga Diraja Johor. – Bernama