Keadaan Lebuhraya di Karak-Genting arah Kuala Lumpur pada jam 9.40 malam tadi.

KUALA LUMPUR –  Aliran trafik dilaporkan tinggi dan perlahan di lebuh raya utama setakat 10 malam tadi berikutan pertambahan kenderaan pada hari kedua sambutan Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi berkata, ia melibatkan trafik ke arah utara dari Yong Peng ke Pagoh, Hentian Tangkak ke Tangkak, Jasin ke Ayer Keroh, Restoran Jejantas Ayer Keroh ke Simpang Ampat, dan Pedas/Linggi ke Seremban.

“Trafik turut tinggi dan masih perlahan ke arah selatan dari Jitra Selatan ke Hutan Kampung, Kubang Pasu ke Gurun, Gurun ke Sungai Petani Utara, Permatang Pauh ke Perai, Changkat Jering ke Terowong Menora, dan Sungkai ke Slim River,” katanya.

LLM di Twitter memaklumkan trafik di lebuh raya Kuala Lumpur-Karak turut dilaporkan berdepan situasi sama dari arah Genting Sempah ke Gombak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.