Bekas banduan yang ingin dikenali sebagai Mika meluahkan rasa teruja untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya di Temerloh, Pahang.

GEORGE TOWN – Aidilfitri kali ini istimewa dan bermakna buat seorang bekas banduan apabila akhirnya berpeluang meraikannya bersama keluarga selepas lebih tiga tahun meringkuk dalam penjara.

Kesyukuran itu dizahirkan pemuda yang mahu dikenali sebagai Mika, 34, yang dibebaskan enam bulan lalu atas kesalahan mengedar dadah.

Menurut anak kelahiran Temerloh, Pahang itu dia juga bersyukur kerana selama dalam tempoh pemenjaraan dan selepas dibebaskan isteri serta keluarganya menerimanya tanpa mengungkit kisah silam.

Pemuda ini dipenjara atas kesalahan mengedar dadah.

“Saya memang teruja sangat Aidilfitri kali ini kerana rasa macam baru pertama kali mahu meraikannya tambahan pula sudah lama merindui air tangan masakan ibu serta isteri.

“Bukan saja itu, saya juga mahu membina semula keluarga, memberi kasih sayang kepada dua anak masing-masing berusia lima dan tujuh tahun yang mana mereka membesar tanpa kasih sayang seorang ayah.

“Saya tak mahu mereka rasa lagi beraya tanpa ayah dan tidak wajar untuk berikan dugaan berat itu kepada mereka atas kesalahan saya terjebak dengan najis dadah,” katanya ketika ditemui MalaysiGazette baru-baru ini.

Tambah Mika, segala persiapan raya termasuk tiket bas untuk pulang ke kampung sudah dibeli kira-kira tiga minggu lalu.

“Saya dibebaskan atas parol pada Ogos tahun lalu dan bekerja di restoran Nasi Kandar Hameediyah di Lebuh Campbell. Sejak dibebaskan sehingga hari ini saya belum pulang jumpa keluarga jadi pertemuan 1 Syawal ini bakal merungkap segala-galanya.

“Hasil pendapatan selama ini digunakan untuk membuat persiapan raya termasuk membeli pakaian baharu buat ibu bapa, isteri serta dua anak saya,” katanya.

Menceritakan sejarah hitam hidupnya Mika memberitahu, pergaulan bebas serta pengaruh rakan sebaya membuatkan dirinya terjebak dalam kancah pengedaran dadah.

“Pada waktu itu, saya hanya memikirkan kepuasan diri, tanpa memikirkan perasaan orang tua. Saya betul-betul menyesal dengan tindakan tersebut, dadah hanya memberikan keseronokan yang sementara.

“Hargailah detik bersama keluarga kerana suasana di luar dan dalam penjara itu memang tidak boleh digambarkan malah ia akan menghantui kita sepanjang hidup,” katanya. – MalaysiaGazette