Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP)

KUALA LUMPUR –  Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sedang menangani gangguan bekalan di beberapa kawasan di Pahang ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (PAIP), Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, gangguan bekalan disebabkan terutamanya masalah paip pecah dan masalah tekanan air yang rendah.

Katanya, ia berikutan terdapat peningkatan mendadak berkali ganda permintaan dan penggunaan pada musim perayaan Aidilfitri terutama di kawasan FELDA dan kampung tradisional.

“Selain itu ditambah lagi faktor cuaca kemarau atau fenomena La Nina lemah mengakibatkan cuaca kering dan taburan hujan yang berkurangan sejak beberapa minggu lalu.

“Keadaan itu telah menyebabkan sumber air mentah yang diperolehi daripada sungai-sungai utama telah berkurangan.

“Penyusutan sumber air mentah ini menyebabkan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) mengalami penyusutan pengeluaran air terawat atas kekangan operasi pam-pam secara optimum di muka sauk.

“Ia sekaligus memberi kesan kepada Kolam Imbangan dan Kolam Simpanan berada di paras minimum apabila LRA tidak beroperasi secara maksimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PAIP Bera telah membuat persediaan menjelang hari Raya Aidilfitri sekiranya berlaku ketiadaan air.

Bagaimanapun, Saiful Zain menjelaskan, PAIP telah mengaktifkan pelan kontigensi untuk berdepan situasi gangguan yang akan berlaku.

Katanya, tempoh efektif plan kesiapsiagaan PAIP sedang berjalan dan diteruskan sehingga 30 April ini.

“PAIP sedang mengatur gerak 34 buah lori tangki air untuk agihan bantuan bekalan alternatif dan penempatan segera 855 buah tangki statik di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti sebagai kawasan kritikal menghadapi masalah tekanan air rendah mahupun gangguan bekalan air.

“PAIP juga telah mengambil tindakan segera menambah dan atur gerak Lori Tangki Air Jumbo iaitu 40,000 dan 50,000 liter di seluruh daerah Pahang bagi mempercepatkan bantuan agihan bekalan alternatif,” jelasnya.

Dalam pada itu, Saiful Zain menasihati pengguna untuk berjimat cermat menggunakan air dan melakukan persediaan belakan yang secukupnya bagi kegunaan di musim perayaan.

Tambah beliau, kesabaran dan kerjasama pengguna amat dihargai dalam menghadapi situasi ini.

“Untuk sebarang masalah, pengguna boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) melalui talian 09-573 9999 yang beroperasi selama 16 jam sehari iaitu dari jam 7 pagi hingga 11 malam,” katanya. – MalaysiaGazette