Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Segamat kekal menjadi kawasan mencatatkanIndeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat hari ini.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), IPU daerah tersebut pada hari ini pada tahap 125 berbanding semalam, 107.

Manakala, Petaling Jaya pada tahap 69 berbanding 109 semalam.

Sementara itu, APIMS mencatatkan 51 kawasan berada pada tahap IPU sederhana, manakala 16 kawasan pada paras baik.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA) memberi jaminan akan memantau keadaan semasa jerebu dalam negara dan mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi kemungkinan akibat jerebu.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata cuaca panas yang melanda Semenanjung akan memberi kesan kepada bacaan IPU pada paras tidak sihat di beberapa kawasan. – MalaysiaGazette