TELUK BAHANG – Memiliki ketinggian ‘luar biasa’ membuatkan Muhamad Haziq sering menjadi tumpuan ketika berada di khalayak ramai.
Namun disebalik ketinggian itu Muhamad Haziq Khairul Annuar, 16, sebenarnya menghidap sindrom Marfan.
Sindrom Marfan lazimnya dialami oleh mereka bertubuh tinggi yang mana ia juga boleh menyebabkan mereka mengalami komplikasi pada jantung, paru-paru dan masalah rabun mata.
Remaja yang memiliki ketinggian 198 sentimeter (cm) berkata, meskipun ketinggian menjadi idaman kebanyakan individu namun ia menyukarkan kehidupan hariannya termasuk untuk menaiki bas serta kereta.
Selain itu, jelasnya, dia turut berdepan kesukaran membeli seluar serta kasut sehingga memerlukan ibu bapanya perlu membuat tempahan bagi baju sekolah serta raya.
“Kalau ke tempat awam misalnya pasar malam saya akan menjadi tumpuan dan ada juga yang ajak bergambar.
“Antara pengalaman lain, ketinggian ini turut menyebabkan ramai salah sangka yang saya bukan berstatus pelajar.
“Malah saya turut digelar ‘galah panjang’ dalam kalangan rakan sekolah selain diberikan tugasan membersihkan bahagian tinggi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Hassan Abbas di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, ibu Muhamad Haziq, Junaidah Jamil, 44, berkata, sudah beberapa tahun mereka tidak menggunakan kipas siling di rumah disebabkan ketinggian anak tunggalnya yang menyamai paras peralatan itu.
Junaidah berkata, ketika berusia lima tahun, anaknya itu disedari mempunyai ketinggian sama dengan remaja belasan tahun.
“Saya dan suami, Khairul Annuar Mohamad Saberi, 52, ketika itu tidak mengesyaki Muhamad Haziq mempunyai sindrom Marfan sehingga dia dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan tahun lalu.
“Selain sindrom Marfan, Muhamad Haziq juga mempunyai penyakit berkaitan jantung sejak berusia lima tahun tetapi dalam keadaan tidak serius.
“Penyakit itu membuatkan Muhamad Haziq berasa cepat keletihan dan tidak dapat aktif dalam sukan di sekolah walaupun meminati aktiviti lompat tinggi,” katanya.
Terdahulu, kisah keunikan ketinggian Muhamad Haziq tular menerusi hantaran Facebook Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Menerusi hantaran itu, Wan Saiful yang berkunjung ke bazar Ramadan Teluk Bahang, teruja bertemu dengan remaja berketinggian mencecah 200 cm berkenaan. – MalaysiaGazette