Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Dua wanita antara tiga suspek ditahan polis selepas disyaki mencaci, memukul dan mengugut tiga individu lain dalam kejadian di Jalan Pandan di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 34 hingga 52 tahun itu ditahan polis pada Ahad.

Kata Mohamad Farouk, polis menerima laporan mengenai insiden serangan tersebut pada Jumaat lalu  daripada seorang wanita tempatan berusia 45 tahun.

“Mangsa yang merupakan seorang kerani di sebuah bank mendakwa dia diserang suspek semasa berada di lokasi kejadian pada jam 3.30 petang.

“Mangsa semasa kejadian bersama suami dan sepupu di dalam kereta sebelum didatangi ketiga-tiga suspek yang tiba-tiba menariknya keluar dari kenderaan lalu memukulnya.

“Malah, suspek turut menyerang sepupu menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala, muka, tangan serta kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan suspek dan pengadu ada pertalian saudara dan kejadian itu dipercayai disebabkan masalah harta.

Tambah beliau, suami mangsa yang cuba menghalang suspek daripada terus menyerang isteri bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma cermin matanya patah.

Bertindak atas laporan itu, polis berjaya menjejaki serta menahan kesemua suspek dalam satu serbuan di sekitar Pandan Jaya di sini, kira-kira jam 6 petang semalam.

“Semakan dan siasatan polis mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau.

“Siasatan awal mendapati, punca kejadian dipercayai berlaku akibat caci-mencaci antara pengadu dan suspek wanita sehingga mengakibatkan serangan tersebut.

Mohamad Farouk berkata, suspek wanita tempatan daripada tiga individu yang ditahan itu telah direman selama dua hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 dan Seksyen 42 kanun sama.- MalaysiaGazette