CHUKAI – Empat individu termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan melibatkan dua kereta Proton Persona di Jalan Terengganu-Jabor, dekat sini, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, Mohd Hafiezul Mohamad berkata, kejadian tersebut turut menyebabkan lapan individu termasuk tiga kanak-kanak mengalami kecederaan.

“Dalam kereta yang pertama, dua perempuan dewasa dan seorang bayi maut, manakala empat lagi termasuk dua kanak-kanak cedera. Kereta tersebut dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun menghala ke Bandar Baru Cheneh, Kemaman.

“Dalam kereta yang kedua pula, seorang lelaki dewasa maut dan empat lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera. Kereta tersebut dalam perjalanan dari Perasing dekat Jabor menuju ke Batu Rakit, Kuala Nerus,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Hafiezul berkata, lima anggota dari BBP Cheneh dan enam anggota yang bersedia di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Perasing bergegas ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.47 petang tadi.

Katanya, proses mengeluarkan kesemua mangsa yang maut dan cedera baru sahaja selesai, bagaimanapun identiti mereka masih belum dikenal pasti. – Bernama