Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memeriksa barangan yang disyaki tiruan yang dijual secara borong di Jalan Cohcrane, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kemasukan barangan tiruan dari luar negara tanpa dipasangkan sebarang jenama menyukarkan pihak berkuasa untuk membanteras sepenuhnya kegiatan penjualan barangan itu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, rampasan sukar dibuat di peringkat kemasukan kerana kerajaan tidak menghalang import pakaian/tekstil dari luar, selagi tidak menyalahi mana-mana peraturan seperti penggunaan cop dagang secara salah.

“Misalnya, pakaian tiruan yang dibawa masuk dari Bangladesh, kebanyakannya masuk tanpa sebarang jenama dan setelah lepas dari pemeriksaan pihak berkuasa, baik di pelabuhan atau di lapangan terbang, sindiket akan memasangkan jenama tiruan dan membuat cetakan di dalam negara.

“Ketika dibawa masuk, ia tidak menjadi kesalahan sebab tiada jenama atau jenama syarikat pada item. Kerana yang dipaten dan didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah jenama paten itu sahaja (setelah ia dipasangkan jenama),” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut berdepan kesulitan dalam membasmi kegiatan berkenaan apabila dalam sesetengah keadaan, mereka tidak mendapat kerjasama penuh daripada wakil cap dagang ketika melakukan serbuan.

Ariffin berkat,a keberadaan wakil cap dagang dalam setiap operasi atau serbuan di stor mahupun premis yang memiliki barangan tiruan adalah penting, kerana pengesahan status sama ada barangan tersebut adalah tiruan atau tidak hanya boleh dilakukan oleh mereka.

“Kami menerima banyak laporan dan aduan daripada orang awam mengatakan berlaku penjualan barangan tiruan di sesuatu lokasi. Mengikut prosedur, kami perlu berhubung dengan wakil cap dagang untuk mereka turut serta dalam operasi.

“Misalnya, dalam serbuan di Jalan Petaling baru-baru ini yang melibatkan lebih 30 wakil cap dagang. Namun, ada daripada mereka yang tidak hadir jadi kami tidak boleh mengambil barang-barang tersebut walaupun diketahui barang tersebut adalah barang tiruan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran terbesar dihadapi pihaknya adalah dalam mendidik masyarakat supaya menghormati cap dagang, sekali gus menghapus mentaliti membeli barangan tiruan semata-mata bagi memenuhi kehendak diri untuk bergaya.

Beliau berkata apabila pengguna membeli sesebuah barangan tiruan, mereka mungkin sudah merasakan sudah ‘memiliki’ suatu produk berjenama, namun hakikatnya sedang menghancurkan institusi yang telah mencipta suatu jenama dan akhirnya memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara.

“Terutama sekali pada musim perayaan sebegini, memang berlaku peningkatan yang tinggi daripada tempahan barangan tiruan di seluruh negara. Diketahui juga pada musim sebegini memang akan ada stok semula besar-besaran untuk edaran, termasuk untuk penjualan dalam talian,” katanya.

Ariffin berkata menurut statistik, tiga lokasi panas penyimpanan dan penjualan barangan tiruan di ibu negara yang dikenal pasti pihaknya adalah di Jalan Petaling, Jalan Chow Kit dan Jalan Kenanga.

Katanya, hasil risikan mendapati kebanyakan daripada sindiket itu juga tidak berminat untuk berpindah ke lokasi lain memandangkan lokasi tersebut telah menjadi hab yang sudah dikenali ramai untuk mendapatkan barangan tiruan, baik dalam kalangan rakyat tempatan mahupun pelancong asing.

“Jadi, itulah yang menjadi sasaran utama kami dan semestinya KPDN akan gunakan segala usaha yang ada untuk membanteras kegiatan ini. Bagaimanapun, pengguna perlu sedar jangan sesekali menggunakan barangan tiruan walaupun murah. Berbelanjalah mengikut kemampuan kita,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast