HARI raya merupakan salah satu syiar Islam yang agung. Hari raya disyariatkan bagi memenuhi dan menyempurnakan fitrah keperluan jiwa dan fizikal umat Islam sebagai manusia. Begitulah sambutan hari raya dalam Islam, yang dikaitkan dengan hari bahagia dan gembira dan secara umumnya diraikan dengan kaedah dan tatacara yang sesuai dengan syariat. Maka sebab itu, pada kedua-kedua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha, umat Islam diharamkan daripada berpuasa.
Rasulullah SAW sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik berkata: “Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu.
Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabda Baginda lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” Namun, anak-anak ini perlu dibimbing dan difahamkan akan konsep ‘wasatiyyah’ atau kesederhanaan menyambut hari raya mengikut lunas-lunas Islam.
Diriwayatkan bahawa satu ketika, apabila Rasulullah SAW mengetahui adanya nyanyian yang dinyanyikan dua orang kanak-kanak perempuan, Baginda tidak melarangnya. Sebaliknya, Baginda membenarkannya. Bahkan, ketika mendengar Saidina Abu Bakar RA hendak melarangnya, Baginda pun bersabda, “Biarkanlah mereka.” (Hadis riwayat Bukhari). Semua umat Islam tidak mengira darjat, keturunan, pangkat mahu pun usia berhak meraikan kejayaan melaksanakan tanggungjawab berpuasa selama sebulan sepanjang Ramadan, termasuklah golongan kanak-kanak.
Bagi kanak-kanak, hari raya adalah kemuncak kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah puasa yang menjadi salah satu tunjang Rukun Islam ini. Tidak kiralah jika ada anak-anak yang mampu menyempurnakan sebulan puasa, atau hanya mampu ‘puasa sekerat-sekerat’, pada hari rayalah mereka akan berpeluang meraikan kejayaan berpuasa ini dengan cara mereka tersendiri. Anak-anak berpeluang memakai baju serba baharu, menunaikan solat sunat Aidilfitri, makan pelbagai juadah istimewa seperti ketupat, lemang, rendang, dan kuih raya dan mengikuti keluarga menziarahi rumah sanak saudara dan sahabat handai.
Selama sebelas bulan manusia bergelumang dengan tuntutan keduniaan dan kehendak nafsu, selama itu jualah fitrah asal manusia dicemari dan dirosakkan. Maka dengan izin Allah, manusia dikurniakan ruang terbaik dalam bulan Ramadan untuk berpuasa dan melaksanakan amal ibadah yang dapat menguatkan dan menyucikan semula fitrahnya. Daripada perspektif Islam, sambutan Aidilfitri bermaksud hari yang disambut sebagai tanda kejayaan dalam mengembalikan fitrah seseorang hamba Allah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.
Dalam hal mendidik kanak-kanak menyambut kejayaan mengembalikan fitrah yang suci di hari raya ini, ia tidak sepatutnya disulamkan dengan unsur-unsur negatif. Misalnya boros berbelanja untuk kelengkapan rumah dan pakaian, terlalu leka bermain dengan gajet, melayari media sosial atau permainan dalam talian yang melekakan, membazirkan makanan, lalai melaksanakan solat, bermain mercun dan sebagainya.
Kanak-kanak perlu diasuh untuk meneruskan kesinambungan amal ibadah tidak kira yang bersifat khusus atau umum yang dilaksanakan semasa bulan Ramadan pada bulan-bulan yang berikutnya. Ibadat khusus seperti berpuasa boleh diteruskan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal dan puasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis. Begitu juga dengan meneruskan amalan Qiamullail yang telah diakui kelebihan dan faedahnya daripada pandangan Islam dan perspektif sains.
Bertandang ke masjid atau surau untuk solat berjemaah juga perlu digalakkan. Ajarkanlah juga kanak-kanak untuk memperbanyakkan amalan membaca al-Quran dan memahami maksudnya, berzikir dan berdoa kepada-Nya. Amalan khusus seperti ini berupaya membentuk jiwa kanak-kanak yang ikhlas untuk beribadah dan sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah dengan izin-Nya.
Amalan-amalan mulia lain seperti menghadiri majlis ilmu, berjimat cermat dalam berbelanja, bersedekah, ziarah-menziarahi, hormat kepada orang tua dan sebagainya adalah ibadah umum yang perlu disuburkan dalam diri kanak-kanak. Tujuannya supaya mereka faham akan konsep ‘amar makruf, nahi mungkar’ iaitu memperbanyakkan amalan yang mulia dan meninggalkan perbuatan yang dilarang.
Teguhnya peribadi mulia kanak-kanak yang dibentuk sepanjang bulan Ramadan tidak akan bermakna jika kita sebagai ibu bapa atau penjaga tidak turut sama menunjukkan contoh yang baik sebagai ikutan mereka. Bersederhanalah dalam menyambut bulan Syawal kelak bersama anak-anak untuk merealisasikan pembentukan jiwa dan minda yang mulia dan soleh.
Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor,
Pensyarah Kanan,
Universiti Sains Islam Malaysia.
Mencorak Aidilfitri yang bermakna buat kanak-kanak
HARI raya merupakan salah satu syiar Islam yang agung. Hari raya disyariatkan bagi memenuhi dan menyempurnakan fitrah keperluan jiwa dan fizikal umat Islam sebagai manusia. Begitulah sambutan hari raya dalam Islam, yang dikaitkan dengan hari bahagia dan gembira dan secara umumnya diraikan dengan kaedah dan tatacara yang sesuai dengan syariat. Maka sebab itu, pada kedua-kedua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha, umat Islam diharamkan daripada berpuasa.
Rasulullah SAW sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik berkata: “Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabda Baginda lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” Namun, anak-anak ini perlu dibimbing dan difahamkan akan konsep ‘wasatiyyah’ atau kesederhanaan menyambut hari raya mengikut lunas-lunas Islam.