Mualaf, Aiza Barrion, 34 melafakan syahadah dihadapan Pendakwah bebas, Ustaz Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir pada Majlis Menyantuni Mualaf di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 APRIL 2023.

PETALING JAYA – Dapat menyambut Aidilfitri buat pertama kali tahun ini ibarat mimpi jadi realiti bagi Aiza Barrion, yang baru sahaja memeluk Islam pada bulan Ramadan tahun ini.

Wanita yang berasal daripada Filipina itu, menetap di Malaysia sejak empat tahun lalu untuk bekerja sebagai pengasuh warga emas.

Aiza, 34 tidak dapat menahan air matanya beberapa minit sebelum melafazkan syahadah 9 April yang lalu di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra.

Katanya, cara hidup majikannya sebagai muslim membuatnya tertarik untuk mempelajari Islam.

Mualaf, Aiza Barrion, 34 bercakap kepada media mengenai perasaannya selepas mengucapkan lafaz syahadah pada Majlis Menyantuni Mualaf di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 APRIL 2023.

“Bila saya lihat majikan saya sembahyang, cara hidup yang sederhana saya mahu memeluk Islam. Sejak itu saya tanya kawan- kawan Islam bagaimana cara hidup, apa yang harus dipelajari,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Apabila hatinya semakin tertarik dengan Islam, Aiza mula menghadiri kelas-kelas agama yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sebagai persediaan sebelum melafazkan syahadah.

Beliau turut belajar berpuasa buat pertama kali tahun ini.

“Saya sudah pergi kelas agama tiga kali saya diajar tentang apa cara hidup Islam bagaimana kehidupan muslim dan apa yang boleh dan tidak boleh,” jelasnya.

Lebih menggembirakan Aiza apabila niatnya untuk memeluk agama Islam tidak dibantah oleh keluarganya di Filipina.

Meskipun ibu dan ayahnya merupakan Kristian namun mereka tidak menghalang Aiza untuk menukar agama.

“Mereka tahu daripada saya berniat masuk Islam saya beritahu mereka dan mereka terbuka, menerima keputusan saya dengan baik,” ujar ibu tunggal anak tiga itu.

Meskipun bakal berbeza agama dengan ibu, ayah dan tiga anaknya namun wanita berkenaan nekad untuk berhijrah sekaligus mendalami tentang Islam.

Beliau bertekad untuk menjadi muslim yang sejati dan belajar agama Islam secara perlahan-lahan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast