Pelakon, Norul Iman Abdul Rahman, 43, atau lebih dikenali sebagai Boy Iman antara empat OKT akan dituduh berhubung kes penipuan pembatalan penganjuran pesta beli belah sempena sambutan Hari Raya, Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) ketika dibawa oleh anggota polis di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Boy Iman bersama tiga lagi penganjur festival beli-belah, Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Boy Iman atau nama sebenarnya, Norul Iman Abdul Rahman, 43; Norazah Sahud, 51; Norzana Rapie @ Rafie, 51; dan Nor Azmi Jantan, 49; membuat pengakuan itu di hadapan Majistrest Noorelyanna Hanim Abdul Halim.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh yang merupakan penganjur acara itu didakwa menipu seorang wanita iaitu Siti Wardina Basir, 21 dengan memperdaya mangsa dalam urusan penjualan atau penyewaan tapak perniagaan sempena festival beli-belah Hooray X Fest Raya.

Tindakan mereka itu telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang sebanyak RM1,500 dan perbuatan tersebut dilakukan di WTCKL pada 19 April lalu sekitar jam 2.34 pagi.

Bagi kesalahn itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada setiap tertuduh.

Namun, keempat-empat tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Syakir Mohamad Fawzi dan Earnest Azad memohon ikat jamin paling rendah kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Noorelyanna kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 13 Jun depan .

Sementara itu, seorang lagi individu bergelar Datuk yang juga pengarah sebuah syarikat berusia 23 tahun yang sepatutnya dituduh hari ini tidak didakwa bersama kerana dimasukkan ke hospital sejak semalam.

Terdahulu, polis telah menahan lima individu termasuk pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung penganjuran festival beli-belah, Hooray X Fest Raya di ibu negara.

Difahamkan, karnival jualan sempena Aidilfitri itu yang sepatutnya bermula 19 April lalu di WTCKL dibatalkan di saat akhir akibat penaja utama menarik diri.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Gunakan Hak Peribadi ANDA. Andai MENIPU mengakulah tidak MENIPU. Jika dihukum MENIPU hantar memo pada institution boleh hapus JENAMA PENJENAYAH.
    Nak istimewa awal mohon post penting dalam kerajaan PERBANDUAN selagi belum dipenjara. Boleh try cuba….

Comments are closed.