rumah terbuka malaysia madani
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani seharusnya diperluaskan penganjurannya di setiap kawasan Parlimen seluruh negara bagi menangkis dakwaan bahawa penganjurannya mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Malah, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan secara sinis mencadangkan supaya program itu diadakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Baik di negeri ada pilihan raya, baik di negeri tak ada pilihan raya, buat di semua tempat supaya Datuk Seri sentiasa dekat di hati rakyat.

“Rakyat pasti percaya ini bukan keputusan yang dipengaruhi oleh lokasi PRN yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Pada 21 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa pemilihan tiga negeri pembangkang untuk penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani tahun ini ada kaitan dengan PRN akan datang.

Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani akan bermula di Alor Setar pada 29 April diikuti Bukit Mertajam (6 Mei), Seremban (7 Mei), Kota Bharu (12 Mei), Kuala Terengganu (13 Mei) dan Batu Caves (14 Mei).

Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya bahawa rakyat mempercayai sepenuhnya penjelasan yang diberikan oleh Anwar itu.

“Sebab Anwar Ibrahim mana ada menipu rakyat, dia bersungguh-sungguh nak mendekatkan diri dengan seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya. – MalaysiaGazette