ADUN Rawang, Chua Wie Kiat
ADUN Rawang, Chua Wie Kiat

RAWANG – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang, Chua Wie Kiat menepis ura-ura bahawa Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajah akan bertanding di kerusi itu.

Wie Kiat berkata, Dr Sathia tidak aktif di kawasan Rawang dan menganggap dakwaan bahawa Dr Sathia akan menggantikan tempat beliau adalah tidak benar.

“Ini hanyalah khabar angin daripada luar dan saya tidak pasti kesahihan berita ini, sehingga kini perbualan saya dengan Dr Sathia setakat ini mendapati dia sibuk dengan tugasan di Hulu Selangor dan saya beri tumpuan di Rawang.

“Dr Sathia tidak aktif di sini, dan saya kurang pasti mengenai khabar angin seperti itu,” katanya dalam sidang media di pusat khidmat masyarakat DUN Rawang, hari ini.

Dalam pada itu, Wie Kiat menjelaskan, hubungan beliau dengan Dr Sathia amat baik malah sering bertemu membantu pengundi.

“Hubungan saya amat baik dengan Dr Sathia kerana dia doktor dan ada klinik di Rawang, jadi kadang-kadang dia rujuk kepada saya untuk bantu.

“Ini semangat yang ditunjukkan kepada pengundi,” katanya.

Tambah beliau, sebarang keputusan untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tertakluk kepada keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pihak Presiden yang akan tentukan siapa yang akan bertanding khususnya di DUN Rawang, setakat ini saya tahu peranan saya dan teruskan khidmat saya di Rawang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Dr. Sathia berminat untuk bertanding di DUN Rawang setelah ketua Cabang PKR Hulu Langat itu dikatakan sering kelihatan di Rawang.

Dr. Sathia yang menafikan dakwaan itu dan berkata, beliau hanya turun ke Rawang untuk bertemu pengundi kerana tugasnya sebagai Ketua Cabang.

Pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Dr. Sathia bertanding di kerusi Parlimen Hulu Langat namun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Hasnizam Harun dengan majoriti tipis 1,562 undi dalam pertembungan enam penjuru. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dr Sathia lebih berpontensi di DUN RAWANG apalagi merupakan Ketua Cabang yang harus diberi keutamaan memimpin Rakyat dan tersendiri akan mengukuhkan Parti. Chua Wie Kiat harus berundur demi keutamaan Parti.

Comments are closed.