Pekebun di Lojing, Kelantan dan Cameron Highlands, Pahang dikatakan terpaksa membuang ribuan tan sayur-sayuran tempatan disebabkan kekurangan permintaan ekoran persaingan dengan sayuran yang telah diimport

KUANTAN – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengatasi lebihan bekalan tomato dengan mengaturkan khidmat pemasaran sebanyak 12.5 metrik tan bermula hari ini ke seluruh negara.

Menurut kenyataan FAMA, usaha itu untuk dipasarkan ke seluruh negara melalui 369 outlet peruncitannya pada harga yang munasabah kepada pengeluar yang telah terjejas.

“Keseluruhan pelan intervensi FAMA diunjurkan sehingga 50 metrik tan bagi khidmat pemasaran tomato.

“Ppemantauan di lapangan oleh pihak FAMA mendapati lebihan bekalan yang berlaku ekoran faktor cuaca yang sangat baik untuk tanaman secara langsung telah mempengaruhi dalam meningkatkan kuantiti pengeluaran sayur-sayuran dalam negara,” katanya.

Justeru FAMA telah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan pemasaran sayur-sayuran negara dengan penerokaan luang-luang pasaran yang baharu bagi keperluan pasaran domestik menerusi kerjasama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

”Langkah agresif itu digembeleng FAMA bagi mengatasi lebihan bekalan sayuran tempatan khususnya pengeluaran tomato yang kurang permintaan pada musim perayaan ini.

”FAMA akan terus menjalankan pemantauan dan melaksanakan tindakan pemasaran dengan kerjasama melalui outlet-outlet peruncitan FAMA.

Para pengeluar juga disarankan agar terus merancang penjadualan penanaman mengikut kehendak pasaran dalam memenuhi permintaan pengguna.

FAMA juga menggesa agar pihak pengusaha untuk menghubungi Pusat-pusat Operasi FAMA yang berdekatan sekiranya terdapat sebarang isu lebihan bekalan. – MalaysiaGazette