Satu kumpulan mi segera berjenama 'Ah Lai White Curry Noodles' dari Malaysia dan satu lagi kumpulan mi segera berjenama 'Indomie: Special Chicken Flavour' buatan Indonesia dikesan mempunyai bahan mendorong kanser.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Alai dan Indomie Perisa Ayam Spesial.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr, Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, bagi Mi Kari Putih Penang Alai persampelan di Malaysia mendapati ia mematuhi perundangan.

“Meskipun begitu, bagi memastikan kawalan keselamatan makanan yang berterusan, KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Alai.

“Bagi batch berkaitan yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada,” kata beliau.

Bagi produk Indomie Perisa Ayam Spesial, KKM telah mengeluarkan arahan untuk tindakan tahan, uji dan lepas di semua pintu masuk negara.

Tindakan itu diambil selepas mengambil maklum laporan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Taiwan mengenai isu pencemaran ethylene oxide kedua-dua produk terbabit.

Ethylene oxide merupakan sebatian gas kimia yang karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

“Ianya juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan,” kata Muhammad Radzi.

Sementara itu KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan yang berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan mahupun yang diimport.

Ia lanjutan daripada isu penarikan semula produk Mi Sedaap keluaran negara Indonesia yang mengandungi Ethylene Oxide pada tahun 2022.

“Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan didapati 11 sampel produk Mi Sedaap telah mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil.

“Tindakan yang diambil termasuklah kompaun, tindakan mahkamah dan juga penarikan balik produk dari pasaran,” katanya.

Media semalam melaporkan dua jenis mi segera buatan jenama Malaysia dan Indonesia dikesan mengandungi bahan yang mendorong penyakit kanser, menurut Jabatan Kesihatan Taipei.

Jabatan itu mengumumkan hasil pemeriksaan dilakukan terhadap mi segera yang terdapat dalam pasaran di Taipei, tahun ini.

Menurut jabatan itu dalam satu kenyataan, pihaknya mendapati satu kumpulan mi segera berjenama ‘Ah Lai White Curry Noodles’ dari Malaysia dan satu lagi kumpulan mi segera berjenama ‘Indomie: Special Chicken Flavour’ buatan Indonesia, mengandungi etilena oksida yang juga sebatian kimia dikaitkan dengan penyakit limfoma dan leukemia.

Jabatan itu berkata, ujian dijalankan berjaya mengesan etilena oksida dalam kedua-dua mi dan peket perencah produk Malaysia terbabit, manakala produk Indonesia berkenaan pula hanya terkandung dalam peket perencah. – MalaysiaGazette