Keratan layar muzik video yang dikongsi di media sosial

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) melancarkan muzik video lagu ‘PRN Kelantan 2023: Mari Pakat Kito Tukar’ bagi kempen menarik undi rakyat negeri itu untuk memilih parti tersebut pada pilihan raya nanti.

Pendekatan lagu konsep rap itu sebagai salah satu alternatif tarikan bagi mengajak pengundi tersebut untuk tukar kepimpinan dan pentabiran kerajaan Kelantan

Lagu yang mempunyai elemen dikir barat itu dikongsikan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad melalui platform Twitter beliau pada Selasa.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu turut memuat naik video lagu berkenaan berdurasi 3.09 minit itu menerusi akaun Youtube rasmi beliau.

Isu air yang tidak berkualiti dan keruh yang dihadapi oleh rakyat Kelantan antara yang diketengahkan dalam video berkenaan.

Selain itu isu kekurangan pekerjaan di negeri itu sehingga rakyatnya terpaksa keluar mencari rezeki di negeri lain juga disentuh.

Sebelum ini Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dijangka dibubarkan dalam tempoh dua minggu sebelum berakhir bulan Jun depan.

Ujar beliau, mengikut makluman yang diperolehi, kesemua negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor telah bersetuju untuk membubarkan DUN masing-masing pada Jun.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tarikh pembubaran antara satu negeri dengan negeri yang lain tidak sama namun masih pada Jun. – MalaysiaGazette