logo mahlamah

PUTRAJAYA – Calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri  M. Ramasamy memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak petisyen pilihan rayanya untuk mencabar keputusan kerusi Parlimen Segamat semasa pilihan raya umum ke-15 ( PRU15) pada November tahun lepas.

Notis rayuan itu difailkan pada 14 April lepas.

Pada 3 April lepas, Mahkamah Tinggi Muar, Johor menolak petisyen Ramasamy selepas memutuskan bahawa terdapat ketidakpatuhan terhadap keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

Ramasamy yang juga Bendahari MIC bertanding sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Segamat pada PRU15 namun tewas kepada calon Pakatan Harapan R. Yuneswaran.

Yuneswaran menang dengan majoriti 5,669 undi dalam pertembungan empat penjuru, berdepan Ramasamy, P. Poobalan (Perikatan Nasional) dan Syed Hairoul Faizey (Pejuang).

Rayuan Ramasamy ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 9 Mei.

Dalam petisyennya, Ramasamy memohon antara lain, pengisytiharan bahawa pilihan raya Parlimen Segamat adalah terbatal dan Yuneswaran tidak boleh dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Dalam alasan penghakimannya, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Radzi Abdul Hamid berkata, petisyen tidak seharusnya berdasarkan inferens dan andaian tetapi berdasarkan fakta sebenar dan material.

Hakim itu berkata, beliau bersetuju dengan hujah peguam yang mewakili Yuneswaran bahawa petisyen Ramasamy tidak mempunyai fakta material yang jelas dan tepat.

Mohd Radzi telah menerima bantahan awal responden iaitu Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat dan Suruhanjaya Pilihan Raya supaya petisyen Ramasamy ditolak.

Bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden termasuk bahawa Ramasamy gagal mematuhi Peraturan 15(4) Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954  berkaitan afidavitnya dan kegagalannya mematuhi Peraturan Petisyen Pilihan Raya berkenaan fakta merayu dalam petisyennya yang tidak mampu mengekalkan perisytiharan yang dimohon. – Bernama