BALING – Perkelahan sebuah keluarga berakhir dengan tragedi selepas seorang kanak-kanak lelaki mati lemas dalam sungai berdekatan Loji Sungai Limau, Kupang di sini hari ini.
Mayat mangsa, Muhammad Yusuf Khairuddin, 10, dijumpai pukul 4.30 petang di dasar sungai terbabit iaitu kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tujuh ahli keluarga termasuk saudara mara sedang berkelah di tepi sungai itu kira-kira pukul 11 pagi.
“Hasil siasatan mendapati ibu mangsa sedang menyuap makanan kepada tiga anak kecil manakala mangsa telah turun ke sungai untuk mandi bersama adik beradik yang lain.
“Sedar akan mangsa hilang, ibunya mencarinya sebelum anak perempuannya berusia 13 tahun memberitahu melihat mangsa menuju ke arah saluran paip penyedut ban pasir.
“Operasi pencarian dilakukan dengan bantuan pihak bomba dan mangsa ditemui di permukaan dasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette