EGM Badan peguam
Badan Peguam Malaysia. foto SYAFIQ AMBAK, 14 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Badan Peguam akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membahaskan usul mengenai kebebasan institusi kehakiman dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

Memetik laporan FMT, mesyuarat tersebut akan diadakan di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini pada 10 Mei ini.

Badan Peguam dalam satu pekeling hari ini menyatakan, EGM itu adalah susulan petisyen yang difailkan oleh 173 ahlinya.

“Korum adalah seramai 500 ahli dan EGM akan dibubarkan jika korum tidak mencukupi sehingga pukul 3 petang.

“Mesyuarat akan bermula serta-merta jika korum dicapai bila-bila masa antara pukul 2 hingga 3 petang,” katanya.

Difahamkan, petisyen tersebut dikemukakan oleh seramai 174 peguam ekoran ‘serangan’ pihak tertentu terhadap badan kehakiman.

Dalam usul tersebut, mereka menyebut tentang serangan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali di mana beliau pernah mengadili kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi.

Peguam-peguam terbabit mahu Badan Peguam menegaskan semula komitmennya untuk mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

Mereka juga mahu Badan Peguam mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said kerana mengesahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mohd Nazlan.

Selain itu, mereka mahu Badan Peguam mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kerana dikatakan gagal mempertahankan institusi kehakiman daripada serangan dan gagal menegakkan kedaulatan undang-undang.

Badan kehakiman menjadi tumpuan ramai sejak setahun lalu ekoran cara kes SRC International yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikendalikan. – MalaysiaGazette