Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan terus bekerjasama dengan kastam Thailand dalam mengekang aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran itu.

JKDM berkata, selain itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis juga telah mengeluarkan larangan bagi pengisian minyak diesel dan petrol bersubsidi untuk kenderaan pendaftaran Thailand.

“Namun begitu, terdapat inisiatif lain yang mana kenderaan-kenderaan Thailand hanya dibenarkan mengisi minyak diesel tanpa subsidi di dua stesen minyak sahaja di negeri Perlis iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian.

“Pada masa yang sama JKDM telah memperketatkan keperluan dokumen yang lengkap terutamanya kes-kes lori yang mengeksport minyak ini dan sememangnya sentiasa bekerjasama dengan KPDN bagi penyemakan kesahihan dokumen,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehingga Mac 2023, JKDM berjaya mematahkan empat kes penyeludupan minyak diesel iaitu tiga kes di Perlis dan satu kes di Kedah.

Jumlah rampasan di Perlis adalah sebanyak 4,340 liter melibatkan nilai rampasan sebanyak RM9,331 manakala di Kedah sebanyak 83,000 liter dengan nilai RM209,041.

Matanya, kastam Thailand akan memeriksa kenderaan yang masuk ke atau keluar dari negara itu bagi memastikan tiada tangki tambahan pada kenderaan.

Menurut kenyataan itu, sekiranya terdapat muatan minyak diesel di dalam tangki tambahan, tangki akan dipotong dan dirampas oleh kastam Thailand.

“JKDM juga akan terus bekerjasama dengan kastam Thailand supaya kenderaan tersebut tidak dibenarkan meneruskan perjalanan dari Thailand.

“Sekiranya aktiviti penyeludupan ini dapat dihidu, JKDM dan kastam Thailand akan sentiasa segera bertindak bersama,” ujarnya.

Sementara itu, JKDM berkata, pihaknya sedang dalam rangka menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) dengan kastam Thailand. – MalaysiaGazette