Ahmad Zahid Hamidi

BALING – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memberi tumpuan untuk membina rumah baharu serta menggantikan rumah uzur di Kedah dalam usaha menyediakan kediaman yang selesa untuk rakyat di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa kawasan penempatan yang mempunyai rumah daif dan rumah uzur di bawah tanggungjawab KKDW telahpun dikenal pasti, namun kementerian masih menunggu senarai lengkap daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

“Kita telah ada (jumlah rumah daif dan uzur di Kedah) tetapi jumlah ini mungkin tidak lengkap sebab kita hanya mengikut senarai eKasih.

“Sehubungan itu kita masih menunggu senarai lengkap untuk mengetahui jumlah sebenar yang memerlukan bantuan pembaikan (rumah) ataupun membina baharu ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas program tinjauan mesra di Desa KEDA Sadek di sini hari ini.

Dalam usaha berkenaan, beliau berkata, tumpuan akan diberikan terhadap daerah Baling berikutan kawasan itu telah 11 kali dilanda banjir sepanjang penggal Pilihan Raya Umum (PRU14) lepas.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, KKDW melalui KEDA telah membina lapan unit rumah berkembar Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) di penempatan Desa KEDA Sadek di sini pada tahun lepas, yang melibatkan peruntukan RM528,000. – Bernama