KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran bau seakan diesel dengan kadar 1 ton di Sungai Gong, Rawang, kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Susulan pengesanan itu, LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air kerana insiden itu berpotensi menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA).

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, siasatan menemukan sebuah jentera jengkaut telah diletakkan di tebing Sungai Gong kira-kira 150 meter dari sungai dan berhampiran sebuah premis kilang.

“Jentera tersebut dikenalpasti digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan gabion untuk tujuan pengukuhan tebing sungai dan ianya tanpa kelulusan serta tidak mengikut piawaian kerja sewajarnya.

“Jentera tersebut telah melaksanakan kerja-kerja berkenaan dari dalam sungai dan ianya adalah kaedah kerja amat berisiko tinggi mengakibatkan pencemaran seperti tumpahan minyak.

“LUAS telah mengarahkan pengendali jentera tersebut mengalihkan jentera itu serta-merta dari tebing sungai yang berpotensi menyebabkan pencemaran dan gangguan kepada operasi LRA utama iaitu LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2, dan SSP3,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, kerja-kerja penyemburan menggunakan rawatan biologikal menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) juga dilakukan sebagai tindakan kawalan dan pencegahan
serta pemuliharaan agar tiada sebarang implikasi kepada Sungai Gong.

“Insiden ini berjaya diatasi dan tiada sebarang gangguan operasi LRA dilaporkan,” katanya.

LUAS membuka kertas siasatan terhadap insiden ini mengikut Seksyen 59 (1)(b) Enakmen LUAS 1999 susulan kesalahan menjalankan aktiviti kemasukan atau pelepasan bahan pencemar tanpa lesen.

Dalam masa sama, LUAS akan menjalankan tindakan susulan penguatkuasaan bagi pematuhan lesen lain berkaitan terhadap premis berkenaan.

“Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan sumber air di negeri ini dan menyeru kepada semua pihak agar prihatin terhadap kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai.

“Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran tersebut tidak berulang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast